Site icon Majalah Grak

Melupakan Kesalahan Pasangan

Melupakan Kesalahan Pasangan

Melupakan Kesalahan Pasangan

  1. Salah satu panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah mengenai akhlak seorang suami ialah menegur isteri secara baik dan melupakan sebahagian kesalahan mereka. Iaitu dia tidak mengungkit secara terperinci bahkan memberikan teguran yang perlu sahaja.
  2. Perkara ini diceritakan dalam al-Quran apabila Allah mendedahkan kepada kita bagaimana Nabi menegur isterinya sebahagian kesalahan yang dilakukan oleh mereka dan tidak mendedahkan sebahagian kesalahan yang lain. Firman Allah:

عَرَّفَ بَعْضَهُ وَأَعْرَضَ عَن بَعْضٍ ۖ

“(maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya)” (Surah al-Tahrim: 3)

  1. Ketika menafsirkan ayat ini, Sheikh al-Tantawi menjelaskan bahawa Baginda hanya menceritakan bahagian kesalahan yang perlu sahaja supaya pihak isteri tidak terasa dengan penerangan yang terlalu detail mengenai kesalahannya. Kata al-Tantawi:

اكتفى بالإشارة إلى جانب منه ، ولم يذكر لها تفاصيل ما قاله لها سابقا . لسمو أخلاقه – صلى الله عليه وسلم – إذ فى ذكر التفاصيل مزيد من الخجل والإحراج لها

“Baginda memadai dengan hanya menyebut sebahagian daripadanya (sebahagian kesalahan sahaja) dan tidak menyebutkan perincian apa yang diucapkannya kepada isterinya sebelum itu. Ini adalah ketinggian akhlak Baginda Nabi SAW kerana dengan menyebutkan kesalahan secara terperinci akan menambah malu isteri dan lebih menyakitkan hati mereka.”

  1. Begitu tinggi akhlak Rasulullah, dalam memberikan teguran pun, Baginda berusaha menjaga hati isteri yang ditegur agar mereka tidak terasa. Malah menurut Sheikh al-Tantawi lagi, buat-buat lupa kesalahan pasangan merupakan akhlak suami yang mulia. Beliau menukilkan kata-kata salaf terdahulu:

ما زال التغافل من فعل الكرام

“Sentiasalah perbuatan melupakan (kesalahan itu) adalah perlakuan orang yang mulia.”

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

Artikel asli: https://darulfunun.id/learn/adab/20240111-melupakan-kesalahan-pasangan

Exit mobile version