- Dalam sebuah hadis, Rasulullah ﷺ mengingatkan kepada kita bahawa apabila semakin dekat hari kiamat nanti, manusia akan merasakan masa semakin singkat. Sabda Rasulullah:
لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ فَتَكُونَ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ
“Tidak akan terjadi hari kiamat sehinggalah masa semakin singkat, (Manusia akan merasakan) Masa setahun jadi seperti sebulan sahaja.” (HR al-Bukhari)
- Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa di akhir zaman itu manusia akan merasakan masa akan semakin singkat. Ini berlaku kerana hilangnya keberkatan masa.
- Pandangan yang sama turut dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi. Kata al-Nawawi:
الْمُرَادُ بِقِصَرِهِ عَدَمُ الْبَرَكَةِ فِيهِ
“Dan yang dimaksudkan dengan singkatnya masa itu adalah disebabkan kerana hilangnya keberkatan masa.”
- Perhatikan bagaimana para sarjana terdahulu menghasilkan karya yang sukar untuk dihasilkan oleh generasi pada hari ini. Sebagai contoh apa yang dilakukan oleh al-Imam al-Nawawi. Menurut Ibn al-Attar, al-Imam al-Nawawi meninggal pada usia 45 tahun (Tuhfah al-Talibin, 43). Walaupun melalui usia yang singkat, beliau meninggalkan karya yang tidak terhitung.
Dr. Khalid Abu Syadi menyebutkan bahawa sekiranya dibahagikan usia hidup al-Nawawi dengan jumlah karyanya, kita akan dapati seolah al-Nawawi mengarang setiap hari sebanyak empat helaian kertas. (Sibaq Nahw al-Jinan, 23).
- Menurut al-Khatib al-Baghdadi pula, al-Imam Ibn Jarir al-Tabari (M310H) menulis setiap hari sebanyak 40 helaian kertas. Dr. Abu Syadi menjelaskan bahawa, sekiranya dikira usia al-Imam al-Tabari dengan tabiat penulisan beliau setiap hari ini, penulisan beliau mencapai bilangan hampir 584,000 helaian penulisan yang dihasilkan.
- Seakan-akan keberkatan masa itu sentiasa mengiringi mereka sehingga mereka menghasilkan sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh orang lain. Sedangkan kita dan mereka telah dikurniakan dengan tempoh masa yang sama. Bumi tidak pernah berputar lebih perlahan ketika mereka menulis. Tetapi karya yang dihasilkan seakan-akan masa yang dilimpahkan buat mereka lebih banyak dari kita.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Artikel asli: https://darulfunun.id/learn/tafsir/20240102-kenapa-masa-terasa-singkat